Saturday, 3 August 2019

Doc! Kolesterol Saya Tinggi! Macam mana nak buat?

Oleh: Dr Hapizi


Saya masih sering jumpa ayat di atas, biasanya disertakan dengan result darah kolesterol.

Ada pula yang risau, bila dah start IF/Keto, kolesterol melambung tinggi dan mulai panik!

Jom kita tengok fakta dan mitos tentang kolesterol ni..

Apa itu kolesterol?

Struktur Kolesterol
Kolesterol merupakan sejenis lemak (lipid) yang sangat penting dan diperlukan oleh setiap sel tubuh kita. Pendek kata, manusia tak boleh hidup tanpa kolesterol!

Antara fungsi-fungsi penting kolesterol:

  • Membentuk membran (lapisan luar) sel untuk perlindungan dan mengekalkan struktur serta cecair dalam sel
  • Penghasilan hormon seperti estrogen, testosterone, cortisol dan vitamin D3
  • Penghasilan asid hempedu (bile acids). Organ hati menukarkan kolesterol kepada asid hempedu untuk penyerapan lemak serta vitamin larut lemak (A,D,E,K)
  • Penghasilan myelin iaitu lapisan 'penebat' sel-sel saraf



Tahukah Anda?



Sekitar 80% dari kolesterol dalam tubuh anda adalah dihasilkan oleh hati. Cuma 20% sahaja dari diet

Jadi cara paling berkesan untuk mengurangkan kolesterol adalah dengan menghentikan penghasilan
kolesterol dari hati (dengan ubat tertentu), BUKAN dengan mengurangkan pengambilan kolesterol dari diet.

Tambahan pula, sistem tubuh kita sentiasa mengekalkan HOMEOSTASIS (keseimbangan). Apabila anda makan makanan yang terlebih kolesterol, hati secara automatik akan mengurangkan penghasilannya, begitulah sebaliknya.

Antara makanan yang tinggi kandungan kolesterol adalah telur, makanan laut seperti kerang, keju dan organ haiwan seperti hati dan limpa. Harus diingat, kolesterol tidak mempunyai sebarang kalori dan amaun yang terdapat dalam makanan sangat sedikit - sebab itulah ia diukur dalam miligram, bukan gram.

Sesuatu yang perlu diberi perhatian juga, apabila kita mengambil terlebih gula fructose atau karbohidrat, organ hati akan menukarkannya kepada 'kolesterol' yang dipanggil VLDL seterusnya LDL. Ini akan meningkat dalam aliran darah. Proses ini digelar De Novo lipogenesis.

Bagaimana kolesterol diangkut dalam tubuh?

Kolesterol dari makanan diserap melalui usus atau yang dihasilkan melalui organ hati, beredar dalam aliran darah, yang mana ia akan digunakan oleh sel-sel tubuh bila diperlukan. Selepas itu ia akan kembali ke hati untuk ditukar ke asid hempedu atau untuk tujuan-tujuan lain.

Oleh kerana kolesterol adalah bahan yang tidak larut dalam air (darah), ianya diangkut melalui bahan yang dipanggil lipoproteins. Ibaratnya kolesterol adalah muatan yang diangkut melalui lori (lipoproteins).

Kolesterol dari hati diangkut melalui lipoprotein VLDL yang seterusnya ditukar ke LDL. Selepas memunggah muatannya (kolesterol) ke dalam sel, lebihan kolesterol yang tidak digunakan diangkut melalui HDL kembali ke hati


Struktur lipoprotein (lori pengangkut kolesterol):

Lipoprotein terdiri dari lapisan luar yang larut air (hidrofilik) serta teras yang larut lemak (hidrofobik). Muatannya terdiri dari ester kolesterol dan trigliserida. Terdapat protein di bahagian luar yang dipanggil apolipoprotein sebagai 'smart tag' untuk dikenali oleh sel

Jenis-jenis lipoprotein

Terdapat 7 kelas lipoprotein :



1. Chylomicrons
2. Chylomicron remnants
3. Very low density lipoproteins (VLDL)
4. Intermediate density lipoproteins (IDL)
5. Low density lipoproteins (LDL)
6. High density lipoproteins (HDL)
7. Lipoproteins (a) Lp (a))

Dalam konteks artikel kali ini, kita akan lebih menumpukan kepada LDL dan HDL
  • LDL merupakan lipoprotein atau 'lori pengangkut' kolesterol yang mempunyai 'smart tag' apolipoprotein B
  • HDL pula adalah lori pengangkut kolesterol yang mempunyai 'smart tag' apolipoprotein A
LDL sering dipanggil 'kolesterol jahat' kerana paras yang tinggi sering dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung. Manakala HDL pula sering digelar 'kolesterol baik' kerana parasnya yang tinggi didapati melindungi seseorang dari serangan jantung. Antara tugas utama HDL juga adalah seperti 'lori majlis bandaran' yang mengangkut semula kolesterol ke dalam hati untuk digunakan kembali.



Walaubagaimanapun, ini adalah sudut pandangan yang terlalu simplistik kerana banyak juga tugas-tugas LDL yang 'baik'. Contohnya LDL mempunyai fungsi penting dalam fungsi imun dan respons kepada kecederaan. Tambahan pula semua LDL dilihat sebagai sama, walhal LDL juga ada banyak jenis - yang utama adalah jenis LDL besar (large LDL) dan LDL kecil (small dense LDL).

Kita akan lihat nanti, yang bahaya dan atherogenic (risiko menyumbat saluran darah) adalah jenis LDL kecil ini (small dense LDL). Sebaliknya LDL besar ini tidak bahaya malah penting untuk fungsi tubuh.

Apakah paras normal kolesterol?

Ini adalah menurut US National Institute of Health, untuk golongan berisiko rendah untuk serangan jantung, diukur selepas puasa selama 9-12 jam:-

  • Total cholesterol: < 200 mg/dl (5.2 mmol/L)
  • LDL cholesterol: < 100 mg/dl (3.4 mmol/L)
  • HDL cholesterol: > 40 mg/dl (1.04 mmol/L) untuk lelaki, > 50 mg/dl (1.3 mmol/L) untuk wanita
  • Triglycerides: < 150 mg/dl (1.7 mmol/L)
LDL > 160 mg/dl (4.1 mmol/L) dikatakan tinggi dan > 190 mg/dl (4.9 mmol/L) dikatakan sangat tinggi

Sebenarnya banyak faktor yang menyumbang kepada kadar kolesterol darah ini seperti genetik, perubahan hormon, kecederaan dan masalah-masalah perubatan lain. Contohnya mereka yang mempunyai masalah hipotiroidisme (kurang hormon tiroid) sering mempunyai paras kolesterol yang tinggi.

Diet seseorang juga mempengaruhi dan kadang-kadang ini sangat signifikan.

Bagaimanapun angka-angka di atas bukanlah begitu tepat untuk menganggar risiko serangan jantung seseorang. Ramai juga yang mempunyai LDL rendah tetapi tetap kena serangan jantung; ramai juga yang mempunyai LDL tinggi tetapi hidup lebih lama.


Kenapa kolesterol meningkat selepas IF/diet keto?

Dalam kebanyakan orang yang membuat IF/diet keto, paras kolesterol meningkat sedikit. Kebanyakannya kita akan jumpa LDL meningkat sedikit beserta dengan peningkatan HDL serta penurunan trigliserida (TG). Ada sesetengah kes, LDL juga menurun.

Kes tipikal bagi yang baru menjalani IF/diet keto

Peningkatan paras kolesterol semasa IF/keto adalah disebabkan penurunan berat badan. Kita telah mengetahui fenomena ini sejak berdekad lalu - penurunan berat badan meningkatkan LDL untuk sementara.

Pakar lipid Dr Thomas Dayspring mengatakan bahawa 1/3 dari pesakitnya mengalami kenaikan LDL disebabkan penurunan berat. Untuk itu, adalah lebih baik untuk menunggu sehingga berat badan stabil beberapa bulan, sebelum membuat ujian darah kolesterol.

Menurut Dr Stephen Phinney, peningkatan kolesterol darah ini adalah disebabkan kolesterol yang tersimpan selama ini dalam sel adipos (lemak), terbebas keluar selepas sel-sel lemak itu mengecut. Ia akan menurun kembali selepas penurunan berat terhenti.

Bagaimanapun, bagi segolongan 20-30% yang mempraktis diet keto, samada berat turun atau tidak, LDL meningkat dengan sangat ketara sehingga 200% atau lebih. Ini adalah golongan yang digelar 'hyper-responders'  Kadang-kadang LDL mereka meningkat sehingga 5.2 mmol/L selepas keto!

Jangan melihat LDL sahaja - lihat keseluruhan profil kolesterol

Kebanyakan orang cuma membaca result 'kolesterol' (total cholesterol) atau LDL yang tinggi sahaja, tanpa melihat keseluruhan profil kolesterol tersebut. Ini tidak tepat sama sekali dan boleh berakhir dengan kita makan ubat kolesterol (bersama side effects nya), walhal kita mungkin tidak perlu pun ubat tersebut.



Ini bermaksud disamping total cholesterol dan LDL,  kita perlu melihat juga HDL, TG dan juga mengira nisbah TG/HDL.

Seperti yang dikatakan sebelumnya terdapat dua jenis utama LDL - yang besar (large buoyant LDL)-juga dikenali sebagai pattern A dan kecil (small dense LDL)-juga dikenali sebagai pattern B.

LDL besar vs LDL kecil. Walaupun paras dalam darah sama, bilangan LDL kecil lebih banyak dan lebih berisiko untuk serangan jantung

LDL kecil 3 kali ganda lebih bahaya (atherogenic) dari LDL besar


LDL pattern B (kecil) bahaya sebab boleh menyelinap masuk melalui ruang antara endothelium salur darah dan menyebabkan pembentukan plak aterosklerosis

Adakah LDL kecil ini diuji parasnya dalam ujian darah kolesterol yang biasa?

Jawapannya tidak

Sesetengah makmal swasta di Malaysia menawarkan ujian yang dipanggil 'Liposcreen LDL subfractions'

Contoh keputusan ujian ni akan keluar macam ni:-


Untuk pesakit ini terdapat LDL 1 dan 2 (LDL besar) dan terdapat juga LDL 3 dan 4 (LDL kecil). Jadi ada risiko jantung kerana terdapat LDL kecil ini

 Masalahnya ujian macam ni adalah mahal dan ditawarkan oleh makmal-makmal tertentu sahaja

Tetapi ada cara yang lebih senang dan agak tepat untuk menganggarkan paras LDL kecil ini, samada tinggi atau rendah. Ini adalah menurut Dr Ken Sikaris, seorang Chemical Pathologist dari Australia. Iaitu dengan melihat paras trigliserida (TG):-

Lihat paras TG - jika lebih dari 1.0 maksudnya LDL yang predominan adalah jenis B (kecil). Jika kurang dari 1.0, yang predominan adalah jenis A (besar)

Menurut Dr Ken Sikaris juga, paras TG agak berubah-ubah. Yang lebih tepat adalah dengan mengukur nisbah TG:HDL (TG:HDL ratio)

 
Berapa nisbah TG:HDL normal?

Nisbah TG:HDL < 0.8 adalah normal


Carta alir menilai profil kolesterol:


Jom kita lihat satu contoh:


Sekali imbas nampak kolesterol tinggi (total cholesterol 6.3, LDL 4.5)

Tapi cuba lihat keseluruhan profil:

1. Tengok triglycerides (TG) - 0.9
2. Tengok HDL - 1.4
3. Kira TG/HDL = 0.9/1.4 = 0.6 👍👍

Kesimpulan: Nisbah TG/HDL adalah 0.6 (normal) (< 0.8) dan pesakit ini mempunyai risiko rendah untuk masalah jantung


Walaubagaimanapun, jika LDL anda terlalu tinggi, atau anda tergolong dalam golongan hyper-responders, atau anda terlalu risau kolesterol tinggi, tapi masih ingin meneruskan IF/Keto, berikut langkah-langkah yang perlu dibuat:

1. Stop semua makanan/minuman bergula yang mengandungi fructose

2. Kurangkan pengambilan karbohidrat terutama yang diproses, seperti nasi, roti, biskut, kek, pasta, macaroni dsb

3. Tinggalkan Bulletproof coffee (jika anda selalu mengambilnya sebelum ini). BPC yang mengandungi butter, virgin coconut oil, MCT oil, whipping cream dll mengandungi banyak lemak tepu yang boleh meningkatkan LDL

4.  Amalkan intermittent fasting (jika belum dibuat). IF merendahkan paras insulin dan ini merencat penghasilan kolesterol

5. Tukar ke makanan yang mengandungi lemak tak tepu (jika selama ini anda makan banyak lemak tepu). Contoh makanan lemak tak tepu adalah minyak zaitun, minyak ikan dan avocado. Contoh lemak tepu adalah dari daging lembu, telur, lemak dari kulit ayam serta minyak kelapa

6. Makan lebih makanan lulus keto yang boleh menurunkan LDL:


  • Avocado
  • Sayuran hijau
  • Koko dan dark chocolate
  • Kekacang dan bijirin 

Diharap artikel ini membantu sedikit sebanyak supaya anda mendapat penerangan yang jelas tentang kolesterol anda dan membuat tindakan susulan yang perlu. Walaubagaimanapun, berbincanglah dengan doktor yang merawat anda untuk mendapat rawatan yang terbaik!

Jom sertai komuniti RDO untuk reverse masalah diabetes, obesiti, kolesterol, PCOS dll


Telegram Group-RDO Community

Rujukan:

1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK305896/

2. https://www.dietdoctor.com/low-carb/cholesterol-basics

3. https://blog.virtahealth.com/ldl-cholesterol-ketogenic-diet/

4. https://www.youtube.com/watch?v=qXtdp4BNyOg&t=64s

5. https://www.docsopinion.com/2014/07/17/triglyceride-hdl-ratio/

6. https://www.youtube.com/watch?v=OyzPEii-wo0

7. https://blog.virtahealth.com/blood-lipid-changes-with-ketogenic-diet/

8. https://www.youtube.com/watch?time_continue=1&v=DXKJaQeteE0

9. https://www.dietdoctor.com/low-carb/fat

8 comments:

  1. Very useful info... Tqvm Dr Hapizi 👍👍👍

    ReplyDelete
  2. Penjelasan terperinci tentang kolesterol. Terima kasih, Dr. 👍 👍

    ReplyDelete
  3. Dapat ilmu baru.. syukran doktor...

    ReplyDelete
  4. terima kasih doktor, IF gaya pemakanan yang baik untuk saya , kesihatan tidak boleh dibeli, ianya kena dijaga dengan baik 👍

    ReplyDelete
  5. Terima kasih atas perkongsiannya. Saya nak tau, apa kesan sampingan sekiranya kita berterusan makan ubat kolesterol. TQIA

    ReplyDelete